Читать книгу Bayangan Cinta - Dawn Brower - Страница 9

BAB 2

Оглавление

Kepala Anya berdenyut bagaikan penukul-penukul kecil sedang mengetuk pada ribuan bahagian di tengkoraknya, tetapi mereka nampaknya lebih utamakan bahagian dahi atas matanya. Dia takut untuk membuka kelopak matanya, takut sakit itu akan bertambah. Apa yang telah terjadi kepadanya? Dia tidak ingat bagaimana dia telah mencederakan dirinya, dan dia tidak mahu tahu.

Cahaya terang tersinar di atasnya, memaksa Anya untuk menghalang dengan lengannya. Dia tolehkan kepalanya sehingga matanya, yang masih tertutup, ditekup dengan bahagian lipatan lengannya. “Siapa pula yang buka lampu?” katanya dengan marah.

“Sudah tiba masa untuk bangun, Cik Ana,” kata seorang wanita. “Duke dan duchess akan ke bawah untuk sarapan sebentar lagi. Ayah kamu harap kamu dapat menjadi seorang wanita sejati.”

“Saya memang wanita sejati,” dia betulkan wanita itu. Pangkat Lady memang telahpun diberikan kepadanya. “Saya tak rasa begitu sihat. Tolong sampaikan salam.” Anya selesakan dirinya ke dalam selimut. Kata-kata wanita itu terngiang-ngiang dalam kepalanya. “Siapa duke dan duchess?” Lebih pentingnya, siapa perempuan ini, dan kenapa dia begitu selesa memecah masuk bilik Anya? Ada sesuatu yang tidak kena.

Dengan penuh berhati-hati, Anya menurunkan selimutnya dan membuka sebelah matanya. Wanita tersebut berpakaian labuh berwarna kelabu kusam. Ia kelihatan... kuno. Anya tidak dapat fikirkan istilah yang lebih baik untuk menerangkan wanita itu. “Kamu siapa?”

“Sudah, sudah, Cik Ana,” katanya sambil menghayunkan jarinya. “Pura-pura sakit tidak akan keluarkan diri kamu dari situasi ini. Kamu tahu tanggungjawab kamu.” Wanita itu mengangkat pakaian biru yang kelihatan lebih mewah daripada pakaian kelabunya, tetapi ia masih kelihatan lama. “Ini pakaian hari kamu. Selepas sarapan, kamu akan bersiap sedia untuk menaiki bot. Perjalanan kamu jauh, dan ia akan makan masa untuk tiba di Jerman.”

Dia panggil Ana? Dia terlepas panggilan itu pada kali pertama. Wanita itu fikir Anya itu orang lain ke? Dia menggigit bibir bawahnya, hairan tentang semua yang sedang berlaku. Kepalanya masih berdenyut dengan kuat. Ada satu sahaja cara untuk tangani situasi ini – ikut sahaja. Dengan perlahan, Anya cuba untuk duduk. Baju tidurnya juga pelik. Dia perlu telefon ibu bapanya dan tanya mereka kenapa dia perlu jumpa duke dan duchess. Anya tidak kenal wanita ini dan Anya tidak boleh percayakannya. Dia mengerut hidungnya. “Saya perlu pakai itu?”

“Apa salahnya?” Wanita itu memandangnya dan mengerut keningnya. Rambutnya berwarna coklat kusam dan beruban putih, matanya berwarna kelabu yang membuatkan Anya takut. “Ia diperbuat daripada sutera yang paling berkualiti. Kamu sendiri yang pilih corak ini.”

Anya tak pernah berbuat sedemikian, tetapi tiada sebab untuk Anya bertengkar dengan wanita itu. Anya mengeluh dan menghulurkan tangannya. “Baiklah. Bagi sini dan saya akan pakaikan.”

“Kamu tak perlukan bantuan?”

“Saya boleh buat sendiri. Dah bertahun saya pakaikan baju sendiri.” Jelas sekali yang wanita ini hidup seperti orang dahulu kala. Mana ada orang yang masih ada pembantu rumah.

“Mungkin kamu tidak sihat,” kata wanita tersebut dan datang menghampiri Anya. Wanita itu meletakkan tangannya ke atas kepala Anya. “Kamu tak panas.”

“Tolong jangan sentuh saya,” kata Anya dengan tegas. Dia merampas pakaian tersebut dan terus berdiri. “Sekarang, sila keluar supaya saya boleh tukar pakaian.”

“Hmmph,” kata wanita itu dengan tidak puas hati. “Nampaknya angin kamu baik harini. Mungkin kalau kamu tidak berjaga tengah malam buat entah apa-apa, kamu akan mendapat rehat yang secukupnya, daripada asyik marah-marah pada awal pagi. Jangan lengah-lengah. Duke dan duchess tidak akan tunggu seseorang seperti kamu untuk muncul.” Dengan kata-kata itu, dia hentak kaki keluar dari bilik itu.

Apa maksud dia? Dia ialah Lady Anya Montgomery, dan tiada orang yang pernah cakap sebegitu dengannya. Dia melondehkan baju tidurnya dan lihat ke dalam laci untuk mencari pakaian dalam, tetapi dia tak jumpa apa-apa kecuali sehelai baju sutera pendek. Ini pun boleh lah. Pakaiannya tidak begitu muat, tetapi dia masih boleh pakaikannya buat sementara waktu. Anya pakaikannya dan merenung pakaian birunya itu. Ada butang di bahagian belakang. Anya merungut. Dia bukakan dua butang dan menyarung pakaian itu. Nasib baik kepalanya muat untuk disarung. Anya kemudian bergelut untuk memakaikan dua butang lagi. Sekiranya Anya turun ke bawah, berpakaian selekeh, pastinya wanita teruk tadi akan mencari sebab untuk memarahinya.

Anya menghembuskan nafasnya dan mengeluh. Anya masih tidak tahu di mana dia berada, tetapi dia akan jumpa jawapannya tidak lama lagi. Dia duduk di meja solek dan mengambil sikat. Dia mula menyikat rambutnya yang sekat dan hampir terjerit. Bukan sebab sakit yang masih berdenyut di kepalanya, tetapi sebab bayangan yang muncul di cermin. Itu bukan Anya. Dengan perlahan, dia mengangkat tangannya dan menyentuh mukanya. Dia menekankan jarinya ke dalam pipinya beberapa kali sehingga menghasilkan kesan dari kukunya. Namun, dia terus menekan... dengan harapan... dengan penuh doa agar perkara yang dia takuti tidak akan menjadi kenyataan. Tak mungkin ini kenyataan. Ini adalah mimpi buruk... yang dia tidak dapat bangun.

Wanita itu panggil Ana, bukan Anya. Namanya cukup hampir untuk dia tidak sedar. Bagaimana kalau dia bukan lagi Anya, tetapi dia telah menjadi Ana. Mungkin itu dapat menerangkan segalanya. Namun, ia masih tidak dapat menerangkan bagaimana dia boleh dapati dirinya bangun dalam tubuh wanita lain. Ini seperti plot filem yang teruk, dan dia tidak sukakannya walaupun sesaat. Dia ingin menutup matanya dan mulakan semula harinya. Nampaknya ia mustahil.

Mungkin tidak... Dia boleh pergi baring dan menutup matanya. Kemudian, bila dia bukakan matanya sekali lagi, mungkin semua ini akan berakhir. Tiada lagi pertukaran tubuh dan pembantu rumah jahat yang akan seksanya. Patutkah dia sekurang-kurangnya cuba? Anya bergegas kembali dan memanjat katilnya. Dia menarik selimut menutupi kepalanya dan tutup rapat kelopak matanya.

Tiada apa-apa.

Mindanya tidak dapat berhenti fikir, dan nampaknya tidur itu mustahil. Dia perlu hadapi realiti; mimpi buruk ini telah menjadi kenyataan. Dia baring buat seketika, sukar untuk percaya, tetapi faktanya tetap sama. Namun, dia perlu hadapi kehidupan sebagai Ana dan cuba untuk tidak merosakkannya. Itu sama mustahil dengan situasi yang dia sedang hadapi...

Duke dan duchess ini, siapa pun mereka, mengharapkan seseorang bernama Ana untuk turun ke bawah. Jika dia gagal berlakon menjadi wanita ini, apa yang mereka akan katakan kepadanya? Dia perlu dapatkan sebanyak informasi yang boleh tanpa mendedahkan dirinya. Dia sudahpun gagal apabila dia menghalau pembantu rumah itu keluar dari biliknya.

Anya menarik nafas yang dalam dan menyikat rambutnya. Dia kemudian mendandan dan menyanggul rambutnya di bahagian bawah belakang lehernya. Ia tidak kelihatan anggun, tetapi sekurang-kurangnya ia sesuai dengan gaunnya yang kuno dan ketinggalan – sekurang-kurangnya itu pendapat Anya... Setelah itu selesai, Anya mencari kasutnya dan tinggalkan bilik itu. Setiap langkahnya diiringi dengan doa agar dia berjaya mencari ruang makan tanpa sebarang insiden...


Nampaknya nasib berpihak kepadanya... Dia terbiasa dengan rekaan rumah tersebut dan mencari sudut sarapan menjadi mudah. Anya menjejaki masuk ke dalam bilik tersebut dan dapati, apa yang dia fikir, sebuah keluarga empat beranak. Seorang lelaki, barangkali duke tersebut, duduk di hujung kepala meja, isterinya disebelahnya, seorang gadis yang berumur lingkungan 16 tahun, dan seorang kanak-kanak lelaki yang setengah umurnya.

Seorang wanita, yang dia fikir ialah duchess, memandangnya dan berkata, “Cik Ana.” Wanita itu berambut coklat keemasan dan matanya berwarna biru terang. “Sila sertai kami.” Dia mengarahkannya untuk duduk di sebelah kanak-kanak lelaki tadi. “Mathias,” katanya dengan marah. “Jangan main dengan oatmeal kamu dan makan.”

Anya cuba untuk tidak senyum dan duduk di sebelah kanak-kanak itu. Dia tunduk dan berbisik, “Saya pun tak gemar oatmeal.”

Dia memandang Anya dan mengerut keningnya. Matanya berwarna biru kelabu yang sangat cantik. Kanak-kanak itu memiringkan kepalanya dan merenung Anya, kemudian berkata, “Kamu siapa?”

Anya menelan air liurnya, takut dengan soalannya. Bagaimana dia harus menjawab soalan itu? Adakah dia betul-betul maksudkannya, dan jika ya, adakah dia sedar yang Anya bukanlah wanita yang mereka sangkakan. Anya tidak sempat untuk menjawab soalannya apabila seorang pembantu rumah datang meletakkan pinggan di hadapannya dan mengisikannya dengan telur hancur, daging, dan roti bakar. “Terima kasih,” kata Anya. Dia menahan dirinya. Kepalanya masih sakit dan sekarang perutnya pula rasa sakit. Dia memandang ke hadapan dan tersentak apabila matanya bertemu dengan mata gadis di hadapannya. Di hadapannya, dia tidak sedar... “Lady Vivian,” katanya dengan penuh berhati-hati. Tak mungkin...

“Ya,” kata Lady Vivian, bingung. “Kenapa?”

Kali terakhir Anya lihat Lady Vivian adalah ketika dia berada di pejabat Institut Filem British. Dia jauh lebih tua dari gadis yang sedang berada di hadapannya ini. Dia bukan sekadar dapati dirinya dalam tubuh orang lain, tetapi dia juga telah pergi ke masa lalu. Apa yang patut dia katakan? Dia tidak dapat berkata, “Oh, kamu bukan Lady Vivian yang saya kenali.” Secara teknikalnya, mereka adalah orang yang sama, cuma versi yang muda. Versi yang dia tidak kenali dan tidak sepatutnya kenali... Anya sendiri pun belum dilahirkan. Sekurang-kurangnya dia fikir begitu... Dia tidak pasti dia berada di tahun berapa, dan dia hanya teka berdasarkan rupa Lady Vivian... Dia bermasam muka.

“Tiada apa apa,” katanya dengan perlahan. “Maafkan saya. Saya ada sakit kepala yang sangat teruk, dan ia membuatkan saya sukar untuk berfikir dengan baik.”

“Kesiannya kamu,” kata duchess. “Kenapa tak katakan sesuatu. Mungkin saya boleh dapatkan seseorang untuk bawakan kamu sesuatu untuk ubatinya.” Dia memetik jarinya ke arah pembantu rumah yang berdekatan, dan bergerak ke tempat lain. Dia kembali tidak lama kemudian bersama dua biji aspirin, dan Anya mengambilnya. Dia terus menelannya tanpa berfikir panjang, bersyukur dia ada sesuatu untuk ubati sakit kepalanya.

Duke mencapai senaskah surat khabar dan membukanya luas. Anya hampir tersentak sekali lagi, tetapi dia cuba menahannya. Tajuk utama akhbar itu merisaukan Anya dan pelbagai perkara bermain di mindanya. Jerman berada di muka hadapan dan tengah-tengah akhbar itu. Tarikhnya September 1933, dan penganiayaan masyarakat Yahudi baru sahaja bermula. Dia menelan air liurnya. Beberapa persoalannya telah terjawab... Seperti, dia sudah pun dilahir, tetapi umurnya belum capai tiga tahun. Dia tidak tahu apa dia patut lakukan atau bagaimana dia perlu bertindak. Tiada satu pun yang masuk akal.

“Ida kata dia sudah sediakan semua bagasi kamu,” duchess itu mula bersuara. Anya perlu cuba untuk ingat kembali namanya. Dia tahu... Kalau lah kepalanya tidak sebegitu sakit. “Kamu dah bersedia untuk perjalanan jauh?”

Yang lebih penting, siapa Ida? Jawapannya muncul... wanita tua itu... pembantu rumah itu. “Ya.” Anya tiada jawapan lain untuk... Brianne. Nama ibu Vivian ialah Brianne. Namun ia tidak sesuai untuk digunakan. Dia patut kata Tuanku dan ikuti etika yang betul. “Dia ada beritahu ketika dia kejutkan saya...” Sekejap... dia juga ada beritahu yang Anya akan ke Jerman. Anya sumpah seranah dalam diam. Itulah tempat terakhir yang dia ingin berada pada tahun 1933. Peperangan itu sangat dasyat dan dia tidak ingin untuk mengalaminya secara langsung, dan di salah satu tempat utamanya yang paling dasyat.

“Dia cekap,” kata duchess itu dan turut tersenyum. “Gembira berada dengan kamu di sini. Ayah kamu cukup baik untuk membantu kami ketika kami pergi ke New York dua tahun yang lalu. Seperti yang kamu tahu, keluarga saya tinggal di South Carolina dan mempunyai sebuah rumah di New York.” Dia tahu akannya... namun dia telah lupa. “Vivian...” Dia memandang anak perempuannya “... tersesat di Central Park. Tanpa bantuan ayah kamu, kemungkinan kami tidak akan jumpainya.

Hmmm. Menarik. Nampaknya Lady Vivian seorang yang nakal. Tidak langsung ia menyerupai wanita yang Anya kenali. Jika dia dapat pulang ke tubuhnya dan masanya kembali, mungkin Anya akan tanyakan Lady Vivian tentang apa yang dia lakukan seorang diri di Central Park pada umur 14 tahun. “Ayah saya gembira dapat membantu.” Anya berharap agar itu suatu kebenaran. Anya tidak kenal langsung siapa “ayah”nya.

“Edward Wegner ialah seorang lelaki yang baik. Saya harap dia gembira dengan kerja barunya dengan Duta di Jerman.” Duke itu melipatkan akhbarnya dan meletakkannya di tepi. “Namun, saya tak pasti dia akan berada lama di sana jika keadaan tidak berubah.” Duke itu mengeluh. “Perang Besar itu sungguh dasyat. Tiada siapa ingin laluinya sekali lagi, tetapi saya takuti yang kita mungkin akan menghadapi satu lagi peperangan.”

Duke itu tidak tahu betapa betulnya dia. Anya menelan air liurnya sekali lagi dan cuba untuk makan. Dia mencedok telur dengan garfu dan sumbat ke dalam mulutnya. Tiada siapa harapkan dia untuk berkata apa-apa ketika dia mengunyah.

“Jangan takutkan dia, Julian,” kata duchess. “Dia sudah pun sedang mengalami banyak masalah.” Senyum duchess itu kepada Anya. “Kamu pernah pergi ke Jerman. Adakah tempatnya cantik... apa yang kamu telah lihat?” Ada sesuatu yang tidak dapat Anya kenalpasti dengan tona suara duchess itu. Pernahkah dia ke Jerman? Jika Anya mengingatinya betul-betul, duke tersebut pernah menjadi seorang pengintip ketika perang dunia pertama. Dia mungkin pernah ke Jerman, tetapi duchess itu seorang warga Amerika. Barangkali dia berada di rumah dengan selamat.

Anya telah telurnya, dan ia sakit sebaik mereka turun ke tekaknya. Dia mengangguk. “Ya.” Satu perkataan pun cukup, kan?

“Saya faham yang kamu sudah bertunang,” kata duke itu.

“Ya?” Itu tidak sepatutnya berbunyi seperti satu soalan. Jika begitu, kenapa dia akan ke Jerman?

Duchess itu ketawa. “Kamu mungkin perlu fikirkan semula tentang hubungan kamu jika kamu tidak pasti. Ayah kamu kata dia bekerja dalam Askar Jerman... seorang pegawai berpangkat tinggi.”

Apa yang Ana ini fikirkan? Adakah dia percayakan seorang Nazi? “Saya pasti ia adalah pilihan yang tepat.” Sekurang-kurang, itulah apa yang dia harapkan. Mungkin Ana cintakan lelaki itu. Anya tidak mahu rosakkan hubungan mereka.

“Apa pun,” kata duchess itu lagi. “Kamu masih mempunyai kehidupan yang panjang. Ada keputusan yang tidak boleh senang-senang ditarik, dan mencintai seorang lelaki yang kamu bakal kahwini tidak sepatutnya menjadi keputusan yang susah.”

“Saya setuju,” jawab Anya, dan dia benar-benar maksudkannya. Apabila dia berkahwin, dia merancang untuk mencintai lelaki itu sebaik mungkin. “Minta maaf tetapi saya minta ambil diri terlebih dahulu. Saya ingin bersihkan diri sebelum saya pergi.”

“Baiklah,” kata duchess itu. “Sekiranya saya tidak dapat jumpa kamu sebelum kamu pergi, selamat menempuh perjalanan.”

Dengan kata-kata itu, Anya tinggalkan bilik itu. Masih banyak dia belum tahu, tetapi apa yang sudah dia ketahui cukup untuk membuatkan dia terkedu. Ini tidak bagus... langsung...

Bayangan Cinta

Подняться наверх